Follow Us on Twitter

Air Liur Kucing Bahaya


KUCING dilihat sebagai binatang peliharaan yang manja dan sentiasa dibelai. Bagaimanapun kucing juga boleh menyebarkan kuman “Bartonella Henselae” (B.henselea) yang jika membabitkan komplikasi akan menyebabkan kematian.

Dikenali sebagai cat-scratch disease (CSD) (penyakit cakaran kucing), ia penyakit jangkitan kuman yang boleh dipindahkan kepada manusia menerusi gigitan, cakaran dan pendedahan kepada air liur kucing. Ia dikesan sejak awal 1900.

Kuman B.henselea selalunya berada dalam air liur kucing tanpa mengira jenis atau baka kucing. Kuman ini datang daripada kutu dan kucing bertindak sebagai ‘pembawa’. Kewujudan kuman ini dalam air liur kucing tidak membuatkan kucing itu sakit. Hampir kebanyakan kucing memiliki kuman ini dan anak kucing lebih terdedah kepada B.henselea berbanding kucing dewasa.

B.henselae boleh ditemui di mana saja di dunia dan selalunya muncul ketika musim sejuk atau gugur di barat. Selain cakaran atau gigitan, pendedahan kepada air liur kucing juga boleh menyebabkan seseorang berhadapan dengan CSD jika berlaku luka.

CSD tidak berjangkit dari seorang individu kepada individu lain kerana ia disebarkan menerusi cakaran atau gigitan kucing yang terdedah kepada B,henselea. Selalunya jika seseorang sudah berhadapan dengan CSD, dia akan imun kepadanya untuk sepanjang hayat.

Secara umumnya kata Pakar Perubatan Am dan Respiratori Hospital Pusrawi Sdn Bhd, Dr Fazilah Ahmad, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mendapatkan rawatan doktor jika terkena gigitan atau cakaran kucing. Keadaan ini berbeza jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat. Di sana saban tahun 24,000 orang dilaporkan mendapatkan rawatan akibat gigitan atau cakaran kucing.

Begitupun, tidak mendapatkan rawatan bukan masalah besar jika tidak timbul sebarang komplikasi. Apatah lagi CSD secara umumnya bersifat tidak bahaya dan boleh sembuh dengan sendirinya tanpa rawatan.

Selepas dicakar atau digigit, lazimnya, luka atau bengkak pada bahagian yang terkena gigitan atau cakaran kadangkala berlaku serta merta. Tetapi ia boleh juga muncul antara tiga ke 10 hari. Kesannya merah, sakit dan bernanah. Jika keadaan serius rawatan diperlukan.

“CSD perlukan rawatan jika berlaku bengkak, sakit dan bernanah. Jika berlaku komplikasi, mungkin membawa maut, apatah lagi jika yang terkena gigitan atau cakaran itu warga tua, kanak-kanak, pesakit HIV, barah, diabetes dan pesakit yang banyak mengambil steroid,” katanya.

Dr Fazilah berkata, jika bengkak mula menjadi merah, membesar dan sangat sakit bila disentuh dan mengandungi nanah, rawatan perlu diberikan. Malah kadangkala pembedahan kecil diperlukan untuk mengeluarkan nanah.

FAKTA
GEJALA
1) Demam
2) Letih
3) Sakit Kepala
4) Hilang selera makan. Kurang lima peratus berhadapan dengan komplikasi yang teruk berikutan kekurangan daya imun tubuh.
5) Bengkak yang sangat sakit dan tidak surut dalam tempoh yang lama.

Golongan Berisiko
1) Kanak-kanak
2) Warga tua
3) Pesakit barah
4) Pesakit HIV
5) Penghidap diabetes
6) Pesakit yang mengambil steroid
7) Mereka yang membela dan gemar membelai kucing.

Diagnosa dan Rawatan
Tiga jenis ujian untuk mendiagnos CSD
a) Ujian kulit
b) Ujian darah
c) Ujian B.henselea (menggunakan cecair atau tisu dari kelenjar limfa yang bengkak)
Secara umum ia bukan penyakit yang serius dan tidak memerlukan rawatan tetapi bagi pesakit yang berhadapan kelenjar limfa yang membengkak dan sangat sakit, antibiotik diberikan. Jika kelenjar bernanah, pembedahan kecil diperlukan untuk mengeluarkan nanah.

Komplikasi CSD
1) Jangkitan kuman pada kulit otak atau pada otak (meningitis dan encephalitis). Ia berlaku pada tiga hingga lima peratus pesakit yang dijangkiti.
2) Radang pada retina mata

Dapatkan rawatan jika;
a) Cakaran atau gigitan tidak sembuh dalam tempoh dua ke tiga minggu
b) Kawasan gigitan bertukar merah dan membesar dua hari atau lebih selepas ia terjadi
c) Demam berpanjangan untuk beberapa hari selepas terkena cakaran atau gigitan
d) Kelenjar limfa yang membengkak dan sakit lebih dari dua atau tiga minggu
e) Sakit sendi atau tulang, sakit perut (muntah atau cirit-birit tetapi tidak demam
f) Berasa sangat letih lebih dari dua atau tiga minggu

Cegah CSD
1) Walaupun bunyinya agak remeh tetapi setiap kali selepas memegang kucing anda perlu membasuh tangan.
2) Hati-hati membelai kucing
3) Mandikan dan bersihkan kucing bagi mengelak kutu
4) Jangan leraikan kucing yang bergaduh.
Category: 0 ulasan

0 ulasan: